Tuesday, October 26, 2010

Teknologi Solar vs. Lebuhraya yang gelap gelita


Saya ingin memberi komen sedikit mengenai keadaan lebuhraya kita yang begitu gelap-gelita diwaktu malam hari. Bagi saya yang kadangkala terpaksa menggunakan lebuhraya diwaktu malam, perkara ini tersangatlah merimaskan kerana terpaksa menahan mata dari silau suluhan ratusan lampu dari hadapan baik yang putih mahupun yang merah.

Sementelahan pula bagi yang memakai cermin mata seperti saya, pedih sungguh rasanya mata ini dan kadangkala terpaksa melelap-lepap kan seketika mata saya. Bayangkan apa yang akan terjadi jika saya betul-betul terlelap dek kerana mata yang letih? jawapannya jadilah seperti bas Sani dan Delima Ekspress.

Oleh kerana itu saya ingin mencadangkan kepada pihak berkuasa dan juga pihak lebuhraya untuk menggunakan lampu yang diterangi oleh kuasa solar disepanjang lebuhraya yang gelap-gelita tadi. Ramai yang  faham akan kosnya yang tinggi tetapi tidak adakah suatu meknisama yang boleh mengurangkan harganya dan dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.

Saya juga percaya dalam jangka waktu yang panjang lampu berkuasa solar ini akan lebih menguntungkan pihak lebuhraya kerana tidak perlu membayar bil dan juga secara tidak langsung akan manjadikan peralatan solar ini lebih murah dan mampu dimiliki dan untuk tidak merugikan pihak TNB mungkin kerajaan boleh menggubal satu undang-undang menyatakan dimana tempat dan kawasan yang boleh dan tidak boleh menggunakan kuasa solar.

Akhir kalam saya juga sebagai rakyat marhein yang termasuk dalam katogeri rakyat miskin bandar seperti yang diumumkan oleh kerajaan 1Malaysia begitu mengharapkan pihak kerajaan dapat mengusahakan untuk mengurangkan kos peralatan solar ini kerana setidak-tidaknya ianya akan dapat mengurangkan perbelanjaan kami.

Monday, October 25, 2010

Kenderaan berat banjiri jalan raya pada waktu puncak



SAYA ingin bertanya kenapa semenjak kebelakangan ini semakin banyak kenderaan besar dan lebar seperti lori treler, kren dan sebagainya dibenarkan menggunakan jalan raya di waktu puncak, iaitu semasa orang ramai keluar untuk pergi dan balik kerja?

Bukankah sebelum ini pernah diwartakan kenderaan-kenderaan berat ini tidak dibenarkan memasuki kawasan yang dikategorikan sesak semasa waktu puncak?

Tidak tahu di mana silapnya secara tiba-tiba kenderaan berat ini mula membanjiri kawasan-kawasan sesak seperti MRR2 dari Karak-Ampang-Sungai Besi.

Keadaan ini saya perhatikan cukup berbahaya kepada pengguna-pengguna jalan yang lain, terutama penunggang-penunggang motosikal.

Lori treler ini kadang-kala dipandu agak laju di kawasan yang sedikit lengang menyebabkan batu-batu kecil berterbangan. Keadaan ini membahayakan penunggang-penunggang motosikal dan merosakkan kereta-kereta.

Tambah membahayakan keadaan lori-lori ini terpaksa memotong kenderaan lain di hadapan mereka kerana kawasan ini mempunyai banyak simpang susur keluar masuk.

Tidak cukup dengan itu mereka memotong sesama sendiri menyebabkan kenderaan mereka menggunakan dua lorong seiringan sekali gus. Kesesakan menjadi bertambah buruk apabila lori ini rosak dan parkir di atas satu lorong.

Kepada pihak penguat kuasa tolonglah pantau keadaan ini. Janganlah kami dibebankan lagi dengan masalah kesesakan yang menggila di MRR2 ini dengan kehadiran lori-lori besar tersebut. Mereka boleh saja menggunakan jalan raya ini dengan selesa di luar waktu puncak semasa kami sedang bekerja.

Soalan kepada pemandu lori, kenapa nak berebut dengan kami? Soalan kepada penguat kuasa, kenapa nak tunggu nyawa melayang baru hendak ambil tindakan?

Notakaki: Surat yang ni pernah disiarkan di Utusan Malaysia ruangan forum, tak ingat tarikh la plak...

Stesen minyak Petronas Mesra, betul ke?...


Sebagai penunggang motosikal saya ingin menyuarakan perasaan tidak puas hati saya terhadap PETRONAS AWAN BESAR menghala ke Shah Alam.

Pada pagi 3hb. Ogos 2009 jam 7.45 pagi saya singgah untuk mengisi minyak motor berjumlah RM16.00 dengan menghulurkan note RM50.00 tetapi sungguh mengejutkan permintaan saya ditolak secara kurang-ajar atas alasan tiada wang kecil, sedangkan juruwang sibuk melayan permintaan barangan runcit yang tentu lebih memerlukan pertukaran wang kecil.

Dalam pada itu seorang pelanggan dibelakang saya (memandu kereta) yang ingin mengisi minyak kereta sebanyak RM20.00 dan juga menghulurkan note RM50.00 telah dilayan dgn memulangkan baki sebanyak RM30.00 kepada beliau.

Persoalan utamanya disini ialah :

1. apakah penunggang motosikal seperti saya yang ingin mengisi minyak dianggap menyusahkan? ataupun tiada kelas? kerana memerlukan pertukaran wang kecil hingga boleh ditolak mentah-mentah permintaan saya?

2.Apakah pihak Petronas lebih mementingkan jualan runcit daripada penjualan minyak? apakah mereka ni pedagang minyak ataupun pedagang barangan runcit? kalau nak jual minyak utamakan pelanggan yang hendak mengisi minyak.

3. Beginikah layanan mereka terhadap pelanggan? jika betul maka sia-sia saja usaha saya yang cuba menyokong pengusaha minyak tempatan yang terbesar ini, sedangkan saya masih mempunyai dua lagi pilihan stesen pam minyak asing disekitar tempat itu.

Saranan saya :

1. Asingkan kaunter untuk mengisi minyak dan barangan runcit jika juruwang tak tahu untuk menilai yang mana satu keperluan yang patut didahulukan.

2. Kursuskan pekerja-pekerja anda supaya lebih mengormati pelanggan dan tidak bersikap kurang ajar.

3. ATAUPUN KHUSUSkan stesen pam minyak ini untuk menujual minyak sahaja, tutup terus perniagaan barangan runcit.

Akhir sekali perlu juga diingat yang saya juga mempunyai kereta tetapi sanggup menyabung nyawa naik motor semata-mata tidak mahu menyumbang kepada kesesakan lalu-lintas yang lebih teruk.

Kesimpulannya jangan pandang kami sebelah mata hanya kerana segelintir nila, kerana berani saya katakan yang kami sebenarnya lebih prihatin kepada pengguna jalanraya raya yang lain kerana kami tahu susah-payahnya menggunakan kedua-dua kenderaan ini berbanding dengan pengguna yang hanya tahu selesa dalam kenderaan yang berhawa dingin.

Thursday, October 14, 2010

Etika "Safety And Health" di Malaysia


Saya rasa terpanggil untuk mengutarakan mengenai isu "Safety and Health" setelah melihat kontraktor SYABAS membuat kerja-kerja pengubah-suaian paip dirumah saya, buat pengetahuan pembaca pihak SYABAS sedang giat menukar dan mengubah meter dirumah-rumah bertingkat diNegeri Selangor selaras dengan polisi kerajaan negeri.

Apa yang cuba saya ketengahkan adalah mengenai etika kerja sub-kontraktor SYABAS yang dilantik tidak menitik-beratkan ciri-ciri keselamatan sepertimana ISO9000 yang dianugerahkan kepada mereka. Pengunaan asas keselamatan seperti kasut keselamatan (Safety shoes), sarung tangan (Safety gloves) dan Topi keselamatan (Safety helmet) tidak dikuat-kuasakan, bayangkan dalam berbelas pekerja cuma seorang saja yg mamakai Safety shoes itupun tanpa helmet dan glove, apabila penulis bertanya kepada penyelia bertugas dia hanya membisu seribu bahasa.

Persoalannya kenapa sikap rakyat malaysia yang bekerja disektor pembinaan ini tidak menitik-beratkan asas-asas keselamatan seperti yang telah digaris-pandukan oleh undang-undang dan diamalkan dinegara-negara maju, apakah setelah hilang jari kaki, putus jari tangan dan pecah kepala ditimpa paip besi baru nak sedar?

Pernah semasa penulis berkerja disebuah syarikat Jepun terkenal disebuah negeri di Terengganu ini melihat seorang "safety Officer" (berbangsa melayu) menghalau pekerja yang cuba melintas kawasan lapang ditapak pembinaan (kawasan putih yang dikategorikan tidak merbahaya) hanya kerana pekerja itu memakai selipar jepun, apatah lagi jika berada dikawasan merah yang dikategorikan merbahaya, undang-undangnya seratus kali ganda lebih ketat.

Tapi dalam kes diatas penulis melihat dengan mata-kepala sendiri bagaimana mereka yang berkerja hanya memakai selipar jepun cuba mengelak daripada tertimpa "pipe wrench" yang terjatuh dan berjalan dicelah-celah paip besi, elbow dan nipple yang berselerakan dilantai. Apa akan terjadi jika ditakdirkan salah-seorang tersepak hujung paip yang tajam? jawapannya ada dalam minda pembaca.

Penulis bukannya hendak menabur pasir dalam periuk nasi sub-kontraktor berkenaan tapi cuma prihatin kepada keselamatan, semenjak penulis mengenali apa itu "safety shoes" penulis akan memastikan memakainya jika membuat kerja-kerja rencam hatta hinggakan menunggang motosikal pun penulis akan menggunakannya kerana tau akan kegunaannya. Akhir kata "sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya" kerana "Malang itu tidak berbau".

SAFETY FIRST

Nota kaki:
Surat ini pun pernah diE-mailkan kepada Utusan Malaysia ruangan Forum tetapi tidak tersiar, mungkin isu ini tak penting bagi mereka, sepenting isu-isu politik. Itu sebab formatnya dalam mood surat menyurat.

Friday, October 1, 2010

Makanan segera vs. layanan mesra


Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang menjengkelkan hati saya ketika singgah dipremis makanan segera Mc Donald di Senawang pada hari raya keempat (2010) yang lalu. Manakan tidak hanya untuk menikmati hidangan burger atas permintaan anak-anak, saya 'dipaksa' beratur selama lebih daripada satu jam dalam suasana yang merimaskan dihadapan kaunter bersebelahan pintu masuk premis.

Situasi ini pada ingatan saya berlaku pada setiap kali saya berkunjung kemana-mana premis makanan segera diseluruh negara terutamanya dikota-kota besar. Pemandangan pelanggan beratur panjang untuk memesan makanan dalam tiga atau empat barisan sudah menjadi lumrah dimana-mana sahaja.

Persoalannya kenapa perkara ini terjadi seolah-olah ianya suatu perkara yang terpaksa kami relakan dan redakan secara sedar atau tak sedar? Kenapa kami dipaksa beratur panjang untuk menikmati makanan kami? Sudahlah harga makanan dipremis-premis makanan segera ini semakin mahal dan semakin meningkat saban tahun, kami pula sebagai pelanggan yang sepatutnya dilayan terpaksa pula melayan diri kami sendiri.

Mana keadilannya disini?

Bermula daripada beratur, membayar, mengangkat dulang sendiri, mengambil sos sendiri dan bangun lagi jika ada apa-apa keperluan yang lain sehinggalah membuang sisa-sisa makanan kami kedalam tong sampah. Patutlah ramai pelanggan yang meninggalkan sahaja sisa makan diatas meja kerana rasa tidak berbaloi dengan harga dan perkhidmatan yang diberikan.

Pada hemat saya sepatutnya saat makan diluar bersama-sama keluarga ini dimanafaatkan untuk bermesra dengan anak-anak tetapi kami ibu-bapa terpaksa bertungkus lumus untuk mendapatkan makanan kami lalu meninggalkan anak-anak bergurau dan bergaduh sesama sendiri.

Jadi untuk mewujudkan situasi menang-menang diantara pelanggan dan peniaga, saya ingin mencadangkan agar dikuat-kuasakan penggunaan nombor giliran seperti yang diaplikasikan dibank-bank, pejabat pos, jabatan-jabatan kerajaan dan lain-lain lagi.

Sediakan sebuah kaunter nombor giliran sebelum kami menuju kemeja makan, pesanan dan bayaran dibuat selepas nombor giliran dipanggil kerana pada pemerhatian saya makanan disediakan agak cepat selepas pesanan diambil sesuai dengan status premis makanan segera, cuma yang membuatkan kami beratur lama kerana kerenah pelanggan yang memesan makanan bermacam-ragam.

Saya yakin dengan sistem ini akan dapat mengurangkan kesesakan dihadapan kaunter dan ibu-bapa akan lebih selesa dapat bersantai bersama-sama keluarga dan yang lebih penting kami sebagai pelanggan tidak sakit hati, sudahlah duit kena keluar kemudian kami bantu pula menjimatkan kos peniaga tak cukup dengan itu, suruh pula kami beratur dan membuat segala-galanya sendiri.

Apa kami sebagai pengguna tak ada hati dan perasaan ke? kerana pusing ikut manapun kami tetap rugi dan saya percaya ramai yang tak puas hati tapi terpaksa memendam rasa.

p/s: Rindu bila teringat semasa mula-mula premis makanan segera ini bertapak diMalaysia, siap-sedia dengan 'waiter' sekali. Kelas gitu.

Nota kaki :

Aku pernah e-mail posting ni pada Utusan Malaysia tetapi tidak disiarkan, lalu aku anggap isu ini tidak penting bagi mereka jadi aku create blog ini semata-mata nak meluahkan isi-hati aku yang dianggap tidak penting oleh sesetengah pihak tetapi penting pada aku. Gambar tu aku pinjam dari blog mana ntah, lupa nak snap sendiri. kalau dia terbaca minta maaf la ye...he..he..he