Friday, October 1, 2010

Makanan segera vs. layanan mesra


Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang menjengkelkan hati saya ketika singgah dipremis makanan segera Mc Donald di Senawang pada hari raya keempat (2010) yang lalu. Manakan tidak hanya untuk menikmati hidangan burger atas permintaan anak-anak, saya 'dipaksa' beratur selama lebih daripada satu jam dalam suasana yang merimaskan dihadapan kaunter bersebelahan pintu masuk premis.

Situasi ini pada ingatan saya berlaku pada setiap kali saya berkunjung kemana-mana premis makanan segera diseluruh negara terutamanya dikota-kota besar. Pemandangan pelanggan beratur panjang untuk memesan makanan dalam tiga atau empat barisan sudah menjadi lumrah dimana-mana sahaja.

Persoalannya kenapa perkara ini terjadi seolah-olah ianya suatu perkara yang terpaksa kami relakan dan redakan secara sedar atau tak sedar? Kenapa kami dipaksa beratur panjang untuk menikmati makanan kami? Sudahlah harga makanan dipremis-premis makanan segera ini semakin mahal dan semakin meningkat saban tahun, kami pula sebagai pelanggan yang sepatutnya dilayan terpaksa pula melayan diri kami sendiri.

Mana keadilannya disini?

Bermula daripada beratur, membayar, mengangkat dulang sendiri, mengambil sos sendiri dan bangun lagi jika ada apa-apa keperluan yang lain sehinggalah membuang sisa-sisa makanan kami kedalam tong sampah. Patutlah ramai pelanggan yang meninggalkan sahaja sisa makan diatas meja kerana rasa tidak berbaloi dengan harga dan perkhidmatan yang diberikan.

Pada hemat saya sepatutnya saat makan diluar bersama-sama keluarga ini dimanafaatkan untuk bermesra dengan anak-anak tetapi kami ibu-bapa terpaksa bertungkus lumus untuk mendapatkan makanan kami lalu meninggalkan anak-anak bergurau dan bergaduh sesama sendiri.

Jadi untuk mewujudkan situasi menang-menang diantara pelanggan dan peniaga, saya ingin mencadangkan agar dikuat-kuasakan penggunaan nombor giliran seperti yang diaplikasikan dibank-bank, pejabat pos, jabatan-jabatan kerajaan dan lain-lain lagi.

Sediakan sebuah kaunter nombor giliran sebelum kami menuju kemeja makan, pesanan dan bayaran dibuat selepas nombor giliran dipanggil kerana pada pemerhatian saya makanan disediakan agak cepat selepas pesanan diambil sesuai dengan status premis makanan segera, cuma yang membuatkan kami beratur lama kerana kerenah pelanggan yang memesan makanan bermacam-ragam.

Saya yakin dengan sistem ini akan dapat mengurangkan kesesakan dihadapan kaunter dan ibu-bapa akan lebih selesa dapat bersantai bersama-sama keluarga dan yang lebih penting kami sebagai pelanggan tidak sakit hati, sudahlah duit kena keluar kemudian kami bantu pula menjimatkan kos peniaga tak cukup dengan itu, suruh pula kami beratur dan membuat segala-galanya sendiri.

Apa kami sebagai pengguna tak ada hati dan perasaan ke? kerana pusing ikut manapun kami tetap rugi dan saya percaya ramai yang tak puas hati tapi terpaksa memendam rasa.

p/s: Rindu bila teringat semasa mula-mula premis makanan segera ini bertapak diMalaysia, siap-sedia dengan 'waiter' sekali. Kelas gitu.

Nota kaki :

Aku pernah e-mail posting ni pada Utusan Malaysia tetapi tidak disiarkan, lalu aku anggap isu ini tidak penting bagi mereka jadi aku create blog ini semata-mata nak meluahkan isi-hati aku yang dianggap tidak penting oleh sesetengah pihak tetapi penting pada aku. Gambar tu aku pinjam dari blog mana ntah, lupa nak snap sendiri. kalau dia terbaca minta maaf la ye...he..he..he

No comments:

Post a Comment